sumber: News Sabah Times
oleh: KAMARUDDIN LIUSIN
TUARAN : Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli-ahli parti di negeri ini untuk terus memastikan Umno Sabah benar-benar kuat dan mantap serta disegani oleh rakan dan lawan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, dengan keputusan dan prestasi cemerlang yang dibuktikan Umno Sabah dalam menghadapi tiga kali pilihanraya umum dengan memenangi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang diperuntukkan kepada Umno ia dianggap oleh pemimpin-pemimpin Umno di Semenanjung bahawa Umno Sabah sebagai kubu kuat parti.
“Saya pula menganggap apa yang mereka (pemimpin Umno dari Semenanjung) katakan itu, bukan sebagai satu keistimewaan..ianya merupakan satu tanggungjawab ahli dan pemimpin Umno di negeri ini untuk memastikan Umno Sabah benar-benar kuat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Tuaran di Dewan Pusat Latihan Rela Sabah, dekat sini, kelmarin.
Katanya, sebagai ahli dan pemimpin Umno adalah amat penting semua pihak dalam parti untuk terus berkerjasama dan bersatu padu untuk memastikan Umno di negeri ini di pandang mulia dan tinggi oleh rakan dan lawan.
Musa yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno juga berkata, adalah amat penting untuk ahli dan pemimpin parti di semua peringkat supaya berjuang dengan penuh keikhlasan dan semangat perpaduan dan saling bekerjasama.
Dalam pada itu,beliau juga meminta semua barisan kepimpinan parti di peringkat bahagian dan cawangan termasuk sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri sentiasa memperkemaskan pentadbiran dan aktiviti termasuk di peringkat cawangan.
“Apa yang penting pemimpin peringkat cawangan juga turut berganding bahu bersama masyarakat setempat dalam menjayakan apa juga aktiviti,” katanya.
Tegasnya, sebarang usaha yang boleh melemahkan parti perlu dielakkan.
Sementara itu,Musa yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan yang seimbang akan dilaksanakan di seluruh negeri yang sekarang ini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan tidak lama lagi akan menghadapi RMK-10.
Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Yahya Hussin, Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Mohd Noor, Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampong Puyon dan Ketua Umno Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

No comments:
Post a Comment